Wilayah Persekutuan benar rapat saf solat berjemaah mulai 1 April

Iklan
SOLAT JEMAAH

PUTRAJAYA - Solat jemaah tanpa penjarakan fizikal di masjid dan surau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya kini dibenarkan berkuat kuasa 1 April depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, kehadiran ke masjid dan surau turut dibenarkan tanpa had umur bagi individu yang sudah menerima vaksinasi Covid-19.

Iklan
Iklan

"Jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, masjid dan surau juga dibenarkan untuk melaksanakan solat sunat tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan selain qiamullail turut dibenarkan.

Iklan

"Majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau serta makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus," katanya.

Beliau berkata, aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau boleh dilaksanakan pada mana-mana waktu yang bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil.

Iklan

"Kesemua kebenaran itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan surau dan masjid seterusnya bermunajat serta berdoa agar penularan Covid-19 dapat dibendung," katanya.