SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Selangor belum merancang untuk melaksanakan kaedah lebih drastik bagi mengawal anjing terbiar di negeri ini.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, proses untuk menangkap anjing terbiar bukan perkara mudah kerana sukar dikesan.
"Masalahnya anjing terbiar sukar untuk kita kawal kerana haiwan ini terlalu cerdik (seolah tahu ada yang ingin menangkapnya)," katanya ketika menjawab soalan celahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.
Menurut Izham, anjing terbiar sukar dikesan ketika penguat kuasa melakukan operasi bersama kelengkapan peralatan tetapi haiwan itu akan berkeliaran semula selepas tamat operasi.
Izham memberitahu, perkara itu sering berulang dan ia bukan alasan kerajaan negeri tidak mahu menangkap anjing terbiar.
Selain itu katanya, kerajaan negeri berdepan kesukaran disebabkan tiada kontraktor berminat untuk menangkap haiwan itu.
"Apabila kita membuka sebut harga bagi tangkapan anjing liar, boleh kata tiada yang berminat walaupun diberi peluang cadangan kadar harga yang ditetapkan," jelasnya.
Jelas beliau, kerajaan negeri juga berdepan kekangan apabila terdapat badan bukan kerajaan (NGO) yang menghalang usaha bagi menangkap haiwan itu.
"Kita memantau cukup rapi apa yang kita buat. Sebarang usaha itu dilihat tidak wajar pihak berkenaan.
"Kaedah kita buat pada masa ini ialah menangkap dan menempatkan anjing terbiar ini di kurungan dan mencari keluarga angkat dengan perikemanusian," jelasnya.
Katanya, masalah lain juga timbul apabila anjing juga cepat membiak hingga menyebabkan populasinya meningkat.
"Anjing cepat membiak seperti arnab. Kalau tengok di Jeram, Kuala Selangor sahaja terdapat ribuan ekor berkeliaran dalam tempoh setahun," katanya.