PENGENDALI Juventus, Massimiliano Allegri mungkin akan mengekalkan corak permainan yang sama pada perlawanan selepas ini, meskipun taktikal tersebut menyebabkan pasukannya tersingkir dari peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara di tangan Villarreal pada awal pagi Rabu.
Menurut Allegri, dia menolak untuk mengkritik persembahan ditampilkan anak buahnya ketika tewas 3-0 kepada The Yellow Submarine memandangkan kesemua pemain beraksi dengan baik pada perlawanan tersebut.
"Saya tidak ada niat untuk tukar cara kami bermain kerana pemain bermain dengan baik sepanjang 65 minit permainan. Kami cuma agak kurang bernasib baik kerana Villarreal bermain dengan cara bertahan dan ia menyukarkan kami untuk menjaringkan gol.
"Bagaimanapun, kami perlu menerima kekalahan ini. Meskipun ia amat buruk buat kami, tapi saya menolak untuk mengkritik mana-mana pemain kerana mereka sudah memberi persembahan terbaik.
"Ini adalah bola sepak, kadang-kadang ia memihak kepada anda, kadang-kadang ia menentang anda,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, Villareal membuka tirai jaringan pada minit ke-78 apabila pemain gantian Francis Coquelin dijatuhkan oleh Daniele Rugani.
Gerard Moreno yang baru beberapa minit dibawa masuk berjaya menewaskan Wojciech Szczesny dari sepakan penalti.
Pau Torres menggandakan kedudukan lima minit sebelum tamat permainan menerusi rembatan jarak dekat selepas menyempurnakan sepakan penjuru Serge Aurier dan Arnaut Danjuma mengesahkan kemenangan selesa pada masa kecederaan.