[VIDEO] Selisih faham punca peladang sawit maut dilanggar rakan

Iklan
Beh Eng Lai melihat kenderaan milik mangsa di Balai Polis Jinjang pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Perselisihan faham ketika mabuk dipercayai menjadi punca seorang peladang kelapa sawit maut dilanggar kereta dipandu rakannya dalam kejadian di Jalan Rimbunan Raya 1 Kepong di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa berusia 48 tahun sedang minum minuman keras bersama dua rakannya, sebelum berlaku pertengkaran di sebuah kedai di Metro Prima Kepong.

Iklan
Iklan

"Selepas pertengkaran itu dileraikan, mangsa beredar dengan rakan wanitanya menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV milik lelaki berkenaan,” katanya pada sidang media di Balai Polis Jinjang di sini pada Khamis.

Eng Lai berkata, mangsa kemudian menyedari kenderaannya diekori sebuah SUV Kia Sportage menyebabkan dia memberhentikan kenderaan di tepi jalan.

Iklan

"Sebaik mangsa keluar dari kenderaannya, suspek bertindak melanggar mangsa sehingga terjatuh sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian," katanya.

Eng Lai berkata, mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.40 petang hari sama.

Iklan

"Susulan itu, kita menahan dua suspek lelaki serta seorang wanita berusia lingkungan 32 hingga 44 tahun dalam serbuan berasingan di Kepong dan Rawang pada Rabu," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dua kenderaan iaitu Honda HRV milik mangsa dan Kia Sportage yang dipandu suspek utama yang juga pembekal makanan laut berusia 38 tahun.

"Dengan penahanan tiga suspek terbabit, kami berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya.

Menurutnya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu hingga Selasa bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.