PGA bongkar sindiket proses arak tiruan

Iklan
Antara peralatan memproses arak tiruan yang dirampas PGA dalam serbuan di sebuah premis di Gombak, Selangor pada Rabu.

GOMBAK - Kegiatan seorang ahli kimia warga asing yang terlibat dalam sindiket pemprosesan arak tiruan berjaya dibongkar dalam serbuan di sebuah premis di kawasan perindustrian di sini pada Rabu.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, operasi sepasukan anggota Batalion 4 PGA Semenyih kira-kira jam 1.30 petang itu berjaya menahan tiga lelaki termasuk ahli kimia terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati premis terbabit dijadikan sebagai makmal memproses pelbagai jenama arak tiruan yang popular.

"Pasukan operasi telah bertindak merampas 2,638 botol minuman keras bernilai RM204,571 (tidak termasuk cukai) selain peralatan memproses arak tiruan, pelekat khas kastam dan pelekat jenama arak.

Iklan

"Turut dirampas adalah sebuah lori, van dan dua telefon bimbit untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, soal siasat mendapati suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua warga India di mana warga tempatan berperanan sebagai pemandu lori, manakala warga asing adalah ahli kimia dan operator.

Iklan

Katanya, sindiket terbabit dipercayai telah aktif sejak 2019 dengan memasarkan arak tiruan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang agar menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.