Aktiviti sukan, kokurikulum sekolah dibenar mulai Isnin

Iklan
Mohd Radzi - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah akan dibenarkan mulai sesi akademik 2022/2023 yang akan bermula Isnin ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kebenaran itu diberikan hanya bagi aktiviti dalam kawasan sekolah sahaja dan garis panduan serta aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 berhubung kebenaran itu akan diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Sudah pasti ini berita gembira buat anak-anak kita yang selama ini hanya berada dalam bilik darjah sahaja. Kita ingin memberi peluang kepada murid dan guru untuk membiasakan diri dengan fasa transisi hidup bersama virus Covid-19 sebelum beralih ke fasa endemik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan (KPM) di sini pada Khamis.

Iklan

Pada 10 Jun lepas KPM menetapkan bahawa sebarang aktiviti sukan, kokurikulum dan perhimpunan di sekolah tidak dibenarkan susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu, merujuk kepada rancangan penyediaan lokar di sekolah rendah bagi menangani isu beg murid yang berat, Mohd Radzi berkata, KPM dalam proses mengenal pasti spesifikasi lokar, bagi menentukan jenisnya, dan memastikan kualiti terbaik bagi membolehkan ia digunakan untuk jangka panjang.

Iklan

"KPM sedang berusaha menjalankan proses pemasangan secepat mungkin setelah kita kenal pasti lokasi sesuai di kawasan sekolah, namun ada tatacara serta proses yang perlu dipatuhi,” katanya.

Pada 6 Mac lepas, Mohd Radzi mengumumkan penyediaan lokar di sekolah rendah yang akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun ini sebagai pendekatan menangani isu beg murid yang berat. - Bernama