PENYANDANG juara, Chelsea tidak menghadapi masalah melayakkan diri ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan kelab Perancis, Lille dengan kemenangan agregat 4-1.
Selepas meraih kemenangan 2-0 di dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik di Stamford Bridge bulan lalu, skuad The Blues itu meneruskan momentum cemerlang apabila beraksi di Stadium Pierre Mauray pada awal pagi Khamis.
Biaprun masih dibelenggu dengan masalah berkaitan pemiliknya, Roman Abramovich, Chelsea masih mampu menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik apabila mencipta kemenangan 2-1 di gelanggang lawan itu.
Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel menjadi individu paling gembira atas kejayaan itu sambil menyifatkan anak-anak buahnya tampil dengan mentaliti cukup tinggi sekalipun berdepan masalah dalam sejak beberapa minggu lalu.
"Kami berusaha dan berjaya mendapat kemenangan yang sepatutnya kerana ia bukan satu tugas yang mudah untuk meraih kemenangan di tempat lawan. Pujian harus diberikan kepada pasukan.
"Saya gembira kerana kami masih mampu berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Liga Juara-Juara meskipun terpaksa berdepan situasi yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.
"Terima kasih juga kepada penyokong yang hadir pada perlawanan malam ini. Mereka sanggup datang dari jauh semata-mata untuk memberi sokongan sehingga membakar semangat pemain,” katanya.
Dalam aksi tersebut, The Blues terlebih dulu ketinggalan apabila Lille berjaya membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Burak Yilmaz pada minit ke-38.
Christian Pulisic menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan babak pertama sebelum kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta meledak gol kemenangan pada minit ke-71.
"Dia (Azpilicueta) mungkin contoh terbaik untuk menggambarkan sebagai seorang pemain dan pemimpin pasukan yang hebat. Dia berjaya membuktikan karakternya di tengah padang.
"Dia hanya mahu melakukan yang terbaik kepada pasukan, tidak kira sama ada waktu kami senang atau susah. Bila kami memerlukannya, dia akan memberikan yang terbaik,” ujar Tuchel.