Rumah terlalu rapat punca api cepat marak

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Kanan: Sayani)

ALOR SETAR - Seramai 65 mangsa daripada 17 keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Bukit Malut, Langkawi, ditempatkan di penempatan sementara selepas kediaman mereka musnah sehingga 95 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya bersyukur tiada mangsa maut mahupun yang mengalami kecederaan serius dalam kejadian yang berlaku jam 6.47 petang Rabu itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, punca kebakaran di penempatan yang padat itu masih dalam siasatan termasuk anggaran kerugian keseluruhan.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan, kita tidak boleh membuat sebarang kesimpulan awal termasuk dakwaan perbuatan khianat,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan sijil penghargaan khas hero bomba kepada Mohd Anuar Ahmad di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar di sini pada Khamis.

Iklan

Sayani berkata, persekitaran penempatan itu menyebabkan api marak dengan cepat berikutan jarak antara rumah terlalu rapat antara 15 hingga 30 meter, selain faktor cuaca yang panas dan kehadiran angin.

"Binaan rumah di kawasan itu yang kebanyakannya adalah kategori C, iaitu keseluruhan binaan kayu menyebabkan api cepat merebak, hanya dalam tempoh lima minit kemusnahan boleh cecah 95 peratus. Dalam kebakaran itu, 14 rumah kelas C musnah 95 peratus.

Iklan

"Dua rumah kelas A masing-masing terbakar kira-kira 80 peratus dan 50 peratus, manakala sebuah rumah kelas B musnah kira-kira 95 peratus,” katanya.

Menurut beliau, kebakaran dapat dikawal dalam tempoh sejam dengan kekuatan 50 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra dan Langkawi l yang tiba bersama beberapa jentera pada jam 7.47 malam.

"Kita tidak berdepan masalah bekalan air ketika usaha pemadaman api dilakukan susulan air daripada tangki mencukupi selain dibantu oleh limbungan kapal berdekatan. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.30 malam Rabu,” katanya.

Sayani memberitahu, kawasan penempatan Bukit Malut sebelum ini sudah dimasukkan dalam pemerhatian bomba dan pihaknya sedang menyediakan praperancangan untuk kawasan berkenaan.

"Penempatan di situ padat, bekalan air agak terhad malah kita telah cadangkan untuk tambah pili bomba sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan kebakaran berulang,” katanya.

Pada Rabu, sebanyak 17 rumah dipercayai musnah sehingga 95 peratus dalam kebakaran di Kampung Bukit Malut, pada 6.47 petang Rabu melibatkan rumah dari tiga kelas berbeza iaitu kelas A, B dan C.