PASIR GUDANG - Polis merampas sejumlah dadah disyaki ekstasi bernilai RM250,000 dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Johor Jaya, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, pihaknya turut menahan dua individu termasuk seorang wanita, masing-masing berusia 58 dan 26 tahun.
Menurutnya, serbuan jam 1.15 petang itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam diketuai Asisten Superintendan Khairul Fazly.
"Berdasarkan pemerhatian, kami percaya rumah sewa ini dijadikan transit untuk dadah dibungkus sebelum dijual dan diedarkan kepada pembeli di sekitar Johor Bahru.
"Polis berjaya merampas 1,483 biji disyaki pil ekstasi dan 6.4 kilogram serbuk disyaki ekstasi selain tangkapan ke atas lelaki dan wanita ini.
"Turut disita sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis dan wang tunai berjumlah RM900. Nilai keseluruhan sitaan adalah RM50,900," katanya pada sidang media di IPD Seri Alam di sini hari ini.
Ismail berkata, pihaknya turut merampas lebih 80 alat mencetak atau melabel logo di atas setiap pil ekstasi.
Katanya, mengikut harga pasaran terkini, setiap pil dianggarkan bernilai antara RM30 sehingga RM70, dan hasil siasatan awal semua dadah itu dipercayai untuk digunakan bagi pasaran tempatan.
"Kita masih dalam siasatan untuk mengesan dari mana dadah ini diambil dan mengenal pasti ke mana ia akan diedarkan.
"Setakat ini, kita percaya dadah ini diproses di tempat lain dan disimpan serta dipeketkan di rumah transit berkenaan," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing.
"Kedua-duanya direman selama enam hari bermula kelmarin hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah," katanya.