KOTA BHARU – Pas tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang sedang berlangsung ketika ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menurutnya, hubungan Pas dan UMNO berjalan dengan baik memandangkan kedua-dua parti berada dalam satu landasan kerajaan yang sama, juga melibatkan Perdana Menteri yang sama.
Iklan
Iklan
"Saya mengesahkan tidak menerima apa-apa jemputan, jadi kami tidak hadir,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk Program Ceria ke Sekolah tahun 2022 Parlimen Kota Bharu di pejabatnya di sini pada Khamis.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 berlangsung empat hari sehingga Sabtu dan akan dimulakan dengan Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai reaksi pelantikan Menteri Besar Johor ke-19, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Takiyuddin memberitahu, Pas menyambut baik pelantikan tersebut sejajar dengan kehendak Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Katanya, berpandukan undang-undang, sultan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik menteri besar tanpa memerlukan nasihat daripada mana-mana pihak.
Artikel Berkaitan