KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memerintahkan semua media arus perdana dan sosial tidak mendedahkan serta menerbitkan nama dan gambar ketiga-tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong berkuat kuasa Khamis.
Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters memutuskan demikian selepas peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memohon secara lisan supaya identiti dan gambar tiga anak itu tidak didedahkan bagi menjaga kebajikan anak-anak berkenaan.
Mohamed Haniff ketika dihubungi pemberita berkata, Khamis ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian yang turut disertai dua lagi peguam MAIPs Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Aidil Khalid, manakala Siew Hong diwakili Sri Murugan dan Dr Shamsher Singh Thind.
Beliau berkata, dengan perintah itu diharap pihak media memberi kerjasama untuk tidak mendedahkan gambar, nama dan identiti anak-anak berkenaan semasa membuat liputan.
"Mahkamah juga menetapkan tarikh pendengaran permohonan MAIPs untuk mencelah dalam petisyen penceraian antara Siew Hong dan Muhammad Nagahswaran Muniandy pada 29 April, 10.30 pagi secara fizikal,” katanya.
Dalam petisyen penceraian tersebut, Siew Hong, 34, diberi hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas anak mereka berumur 10 dan 14 tahun.
MAIPs memfailkan permohonan mencelah dalam petisyen tersebut pada 7 Mac lalu supaya badan agama itu mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membuat permohonan variasi ke atas terma-terma perintah jagaan tunggal yang dimiliki Loh.
Permohonan itu dibuat antaranya atas alasan selepas pemelukan Islam responden (Muhammad Nagahswaran) dan kesemua kanak-kanak tersebut, bakal pencelah (MAIPs) telah bertindak dan bertanggungjawab sebagai penyelia bagi memastikan orang-orang yang baharu masuk Islam, para mualaf, mendapat panduan dan pendidikan diperlukan berkenaan dengan Islam.
MAIPs dalam permohonannya berkata, pada 2017, Perlis memfatwakan pasangan bukan Islam yang salah seorang daripada mereka memeluk Islam, maka hak hadhanah (hak jagaan anak) tidak dinilai berdasarkan kepada agama ibu atau bapa, sebaliknya diserahkan kepada sesiapa lebih dapat menjamin kemaslahatan anak dari sudut perkembangan moral, emosi dan tumbesarannya dan dalam masa sama ibu bapa yang Muslim bertanggungjawab memperkenalkan Islam kepada anak.
Menurut MAIPs, kanak-kanak itu juga telah menzahirkan iktikad dalam keazaman melalui perbuatan dan tingkah lakunya untuk terus berada dalam agama Islam.
Pada 21 Februari lepas, tiga beradik yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan serta merta kepada Siew Hong, selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.Dalam notis usul difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Februari lepas, Siew Hong menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.
Siew Hong memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden dan dikembalikan kepadanya. - Bernama