JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar calon-calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Johor Bahru pada Rabu.
"Mereka (bakal calon Exco) perlu juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah baginda yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis.
Menerusi pertemuan yang berlangsung selama hampir sejam itu, baginda turut bertitah supaya kelayakan akademik setiap calon-calon juga disemak kesahihannya dengan teliti.
"Pilihan raya sudah pun habis. Kini tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.
"Saya pegang kata-kata Datuk Seri Hasni Mohammad (bekas Menteri Besar Johor), tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta'zim,” titah baginda.
Baginda yang sentiasa mengutamakan nasib rakyat menjelaskan wakil rakyat yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.
"Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan.
"Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Jangan termakan budi.
"Di peringkat awal ini, Onn Hafiz juga perlu bekerjasama dengan Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah baginda.