ALOR SETAR - Seorang pengantin yang sedang merakamkan foto perkahwinannya di tebing Sungai Anak Bukit sanggup terjun ke dalam sungai dengan berpakaian baju Melayu untuk menyelamatkan kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) yang lemas ketika terjatuh ke sungai terbabit.
Mohd Anuar Ahmad, 33, berkata, kejadian berlaku secara spontan dan pantas, namun atas dasar kemanusiaan dia terus terjun ke sungai sebaik terdengar jeritan ibu kanak-kanak berkenaan.
Menurutnya, pengalaman pertama menyelamatkan kanak-kanak lemas beberapa tahun lalu menjadi pendorong untuk dirinya segera menyelamatkan mangsa yang berusia tujuh tahun itu.
"Ketika itu, saya sempat buka jam, tengkolok dan sampin, saya terus terjun ke sungai dengan berpakaian pengantin untuk selamatkan kanak-kanak itu.
"Nyawa kanak-kanak itu lebih penting, saya segera terjun ke dalam sungai sebab keadaan dia yang hampir tenggelam," katanya ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan hero Bomba yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar pada Khamis.
Mohd Anuar berkata, ketika kejadian sekitar 6.45 petang Jumaat lalu, dia sedang merakamkan gambar kenangan pada hari perkahwinannya bersama isteri, Norhaslinda Mahmud, 38, dan jurugambar.
"Tiba-tiba saya terdengar suara wanita dipercayai ibu kanak-kanak itu meraung minta tolong selepas seorang daripada tiga anaknya terjatuh ke dalam sungai itu.
"Sungai Anak Bukit itu sangat dalam dan luas, namun tanpa fikir panjang, saya cuba selamatkan mangsa. Mujur saya tahu berenang dan terus tarik kanak-kanak itu walaupun dia beberapa kali tenggelam timbul," katanya lagi.
Mohd Anuar yang menetap di Kampung Kota Rentang, Gunung Keriang tidak menyangka video kejadian yang tular mendapat perhatian ramai dan bersyukur kanak-kanak itu selamat.
Dalam pada itu, Norhaslinda bangga dengan keberanian suaminya yang tidak menghiraukan keadaan dan terus menyelamatkan kanak-kanak terbabit.
"Saya cemas juga ketika itu, tengok suami tiba-tiba dalam sungai, nampak tenggelam timbul pula, namun akhirnya lega apabila suami berjaya tarik mangsa ke tebing.
"Saya tak sangka kejadian tular di laman sosial, apa yang suami dapat ini adalah satu pengiktirafan yang tidak ternilai,” katanya.
Video berdurasi 29 saat itu tular di laman sosial Tik Tok dan Facebook sehingga menarik perhatian warganet yang memuji tindakan Mohd Anuar yang menganggapnya sebagai hero.
Sementara, Sayani berkata, keberanian Mohd Anuar dihargai kerana membantu pasukan bomba menyelamatkan satu nyawa.
"Mohd Anuar adalah responden pertama yang berada di lokasi ketika kejadian. Kita sampaikan sijil penghargaan, buku Wira Merah berkaitan sejarah bomba dan cenderahati untuk pasangan terbabit.
"Mungkin peristiwa ini dapat mencetuskan motivasi kepada semua, kemahiran berenang serta sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan nyawa orang lain harus dipuji dan dihargai," katanya.