PENAMPILAN pemain badminton perseorangan nombor satu Singapura, Loh Kean Yew di kejuaraan Seluruh England berakhir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada jaguh Denmark, Anders Antonsen.
Perlawanan di Utilita Arena Birmingham, England itu menyaksikan Kean Yew terpaksa akur kematangan permainan Antonsen yang juga pilihan ketiga kejuaraan biarpun berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan.
Iklan
Iklan
Bintang muda Kota Singa berusia 24 tahun yang juga pemain nombor sembilan dunia bangkit tewas set pertama 15-21 untuk menang set berikutnya 21-18.
Namun pada set penentuan pengalaman ternyata berpihak pemain negara Scandinavia berstatus nombor tiga dunia itu apabila menang 21-13 dalam perlawanan yang berlarutan selama 74 minit.
Untuk rekod ini merupakan kemenangan pertama Antonsen ke atas Kean Yew, sekali gus menebus kekalahan di Kejuaraan Dunia pada Disember lalu yang menyaksikan pemain itu muncul juara kejuaraan tersebut.
Seluruh England ini merupakan kejuaraan kedua Kean Yew sepanjang Mac selepas tersingkir dari Terbuka Jerman setelah dikejutkan pemain nombor 33 dunia dari Kanada, Brian Yang 21-12, 16-21, 18-21 di Westenergie Sporthalle, Mulheim.
Kejuaraan Terbuka Switzerland selepas ini merupakan cabaran seterusnya bagi Kean Yew.