KUALA LUMPUR - Pucuk pimpinan tertinggi UMNO atau ‘Top 5’ dalam parti diseru agar dapat berbincang secara elok serta mencari masa yang paling sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sedang dinanti rakyat ketika ini.
Naib Ketua Wanita UMNO Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, kenyataan yang dibuatnya itu adalah mewakili suara rakyat di peringkat akar umbi.
Iklan
Iklan
"Saya bagi pihak suara rakyat di bawah sana memohon agar pucuk pimpinan tertinggi UMNO ataupun Top 5 UMNO Malaysia yang terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden, Perdana Menteri dan Naib-naib Presiden agar dapat berbincang secara elok serta mencari masa yang paling sesuai untuk diadakan PRU15 yang mana dinanti-nantikan oleh rakyat.
"Mereka (dilihat) tidak sabar-sabar lagi untuk memberikan mandat baru kepada Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan baharu dengan majoriti dua pertiga. InsyaALLAH,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini, pada Khamis.
Tambahnya, hakikatnya rakyat ketika ini mulai sedar akan realiti bahawa perlunya kerajaan yang stabil dari segi politik dalam mentadbir negara ini.
"Pengalaman selama 22 bulan diperintah Pakatan Harapan (PH), selepas itu 17 bulan Perikatan Nasional (PN) bulan dan sekarang ini walaupun nampak suasana yang agak tenang tetapi masih dalam keadaan yang tidak selamat.
"Justeru, disebabkan itu mereka (rakyat) mengharapkan PRU15 disegerakan memandangkan suasana ataupun momentum yang tengah baik dan cantik ini. Jangan tunggu parti lawan kuat terapi biarlah mereka tengah lemah (dan) kita lawan,” katanya.