KUALA LUMPUR - Lima individu termasuk tiga wanita ditahan disyaki terlibat dengan sindiket tambah nilai kad Touch 'n Go dan kad mata ganjaran secara tidak sah di sebuah kondominium di Cheras di sini pada Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, kesemua suspek berusia 30 hingga 46 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 4 petang.
Menurutnya, dalam serbuan itu polis turut merampas sebuah unit komputer riba, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, 1,400 keping kad Touch 'n Go, 5,200 keping kad mata ganjaran, 35 keping resit kad ganjaran dan tiga buku cek.
"Kita turut merampas satu unit pembaca data kad yang disyaki merupakan peralatan digunakan untuk menambah nilai kad Touch 'n Go dan kad mata ganjaran secara tidak sah.
"Siasatan awal juga mendapati sindiket itu telah mula beroperasi sejak Mac tahun lalu dan kad yang telah ditambah nilai secara tidak sah itu digunakan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Mahidisham berkata, kesemua suspek direman tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer kerana membuat capaian yang tidak sah.
Dalam pada itu, Mohd Mahidisham turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti tambah nilai yang tidak sah ke atas kad Touch 'n Go atau sebarang kad mata ganjaran.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat aktiviti seperti itu boleh melaporkan kepada pihak polis melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Seam Response Center di talian 03-2610 1559/1599.
"WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111222, semakmule.rmp.gov.my atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.