Hina OKU, 'Kak Long' perlu buat permohonan maaf: Ras Adiba

Iklan
Ras Adiba

KUALA LUMPUR - Wanita dikenali sebagai 'Kak Long' yang mempersendakan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi video tular di media sosial perlu membuat permohonan maaf secara terbuka serta melakukan aktiviti amal sebagai pengajaran kepada beliau dan orang lain.

Ahli Dewan Negara yang mewakili golongan OKU, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, berlakon seperti OKU bukan modal untuk membuat kandungan dan menjadi terkenal di media sosial.

Iklan
Iklan

"Saya harap semua pihak dapat menjaga sensitiviti dan hormat kepada OKU kerana kita semua seharusnya ingat bahawa satu hari (nanti) semua akan menjadi OKU.

"Perkara sebegini bukan kali pertama berlaku, malah sejak kebelakangan ini telah pun ada beberapa isu mempersenda OKU kerap berlaku. Penguatkuasaan Akta Orang Kurang Upaya 2008 yang rapuh dan lemah menyebabkan ramai di luar sana terus menerus mempersenda dan mendiskriminasi komuniti OKU,” katanya.

Iklan

Ras Adiba berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu menyegerakan pindaan akta itu dengan menitikberatkan aspek perlindungan dan keselamatan golongan itu melalui penguatkuasaan undang-undang.

Beliau yang juga Presiden OKU Sentral turut menyeru semua persatuan dan pertubuhan OKU untuk membuat laporan polis terhadap individu berkenaan supaya tindakan dapat diambil mengikut lunas undang-undang.

Iklan

Ini kerana, beliau berkata, perbuatan memalukan fizikal seseorang secara lisan mahupun di alam maya diklasifikasikan sebagai jenayah di bawah Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

"Saya memohon kerajaan untuk meminda Akta 588 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan dengan memasukkan hukuman lebih berat supaya tindakan mengaibkan orang khususnya OKU tidak dilakukan.

Kita perlu pastikan bahawa (OKU) bukan sesuatu yang boleh dipermainkan dan kami tidak boleh diperkotak-katikkan kerana kami OKU. Kami mempunyai perasaan, kami mempunyai kehendak dan maruah jadi ini mesti dihentikan,” katanya. - Bernama