Isu beca: Keikhlasan kerajaan Pulau Pinang dipersoal

Iklan
Pengayuh beca berdepan masalah pendapatan apabila tiada pelancong asing ke Pulau Pinang kerana Covid-19 selain elaun bulanan didakwa dipotong separuh. Gambar kecil: Baljit Singh

GEORGETOWN - Keikhlasan Kerajaan Pulau Pinang dalam membantu rakyat yang memerlukan ketika penularan Covid-19 dipersoal apabila didakwa tidak menjalankan tanggungjawab itu dengan baik.

Ia susulan elaun bulanan lebih 100 pengayuh beca di Pulau Pinang dikatakan telah dipotong separuh daripada jumlah yang sepatutnya dibayar.

Iklan
Iklan

Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Baljit Singh berkata, tindakan kerajaan negeri itu amat membimbangkan susulan pengayuh beca antara golongan paling terjejas akibat Covid-19 kerana tiada pendapatan sejak dua tahun lalu.

"Perkara ini (elaun bulanan dipotong) tidak sepatutnya berlaku kerana pengayuh beca sudah terseksa dengan keadaan perniagaan mereka selama ini. Ia ditambah pula dengan pemotongan elaun sebanyak RM100.

Iklan

"Lebih membimbangkan, kita risau ada lagi golongan di negeri ini yang dipinggirkan dengan cara sama namun tidak menyuarakannya dan hanya berdiam diri sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, lebih 100 pengayuh beca kesal apabila mendakwa elaun bulanan sebanyak RM200 yang diberikan Kerajaan Pulau Pinang telah dipotong sebanyak RM100 untuk tahun ini.

Iklan

Selain itu, mereka turut mendakwa pembayaran elaun itu juga tertangguh sejak Januari lalu, yang mana hanya dibayar melalui akaun bank masing-masing pada Selasa setelah mengetahui satu demontrasi akan diadakan di Tingkat 3, Komtar di sini.

Bagaimanapun, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dalam kenyataan balasnya menafikan mengabaikan penarik beca dan memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menggandakan elaun bulanan daripada RM100 kepada RM200, selama enam bulan bermula Jun 2021 hingga Disember 2021.

Dalam pada itu, Baljit berkata, isu pengayuh beca yang berdepan dengan masalah pendapatan bukan baharu malah sudah berlarutan sejak dua tahun lalu ketika negara mula dilanda Covid-19.

"Isu pengayuh beca bukan baru, mereka bergelut dengan masalah pelanggan sejak Mac 2020. Pendapatannya mereka terjejas teruk dan hanya bergantung kepada elaun bulanan sahaja.

"Apabila elaun dikurangkan, ia telah memburukkan lagi keadaan, tambahan pula kos sara hidup sekarang semakin tinggi. Oleh yang demikian, tindakan mengurangkan elaun bulanan tidak wajar sama sekali," katanya.