ADUN sambut baik langkah isytihar harta

Iklan
Dari kiri: Raven, Mohd Fared

JOHOR BAHRU - Pengisytiharan harta oleh calon- calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) yang bakal dilantik sebagaimana dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar disifatkan langkah bijak yang bakal membuka lembaran baharu politik Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah merangkap Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, calon yang bersih dan berintegriti diperlukan bagi menggalas jawatan Exco kerana peranannya besar dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

"Saya menjunjung kasih di atas titah Sultan Ibrahim agar calon-calon Exco yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.

"Bagi saya perkara ini tidak sukar dilaksanakan. Ia penting untuk menunjukkan ketulusan seseorang wakil rakyat yang bakal menjadi Exco kelak. Pengisytiharan harta juga dapat memastikan harta yang diperoleh adalah setaraf dengan punca pendapatan wakil rakyat," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Sementara itu, ADUN Tenggaroh, K Raven, yang juga Ketua Pemuda MIC turut bersedia membuat pengisytiharan harta malah percaya semua ADUN Barisan Nasional (BN) Johor juga akan melaksanakan perkara sama.

"Sudah tentu barisan Exco yang dilantik nanti akan lebih diyakini oleh rakyat sekali gus mewujudkan kerajaan negeri yang lebih telus dan berintegriti.

"Titah Sultan Ibrahim itu bukan sahaja tepat pada masanya malah ia perlu dilaksanakan di setiap peringkat lantikan jawatan kerajaan bagi memastikan integriti dijadikan kriteria utama," ujarnya.

Iklan

Sebelum itu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar calon-calon Exco yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Johor Bahru pada Rabu.