PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim percaya Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mempunyai ramuan yang tepat untuk memacu skuad Harimau Malaya.
Tunku Mahkota Johor berkata, peluang dan masa perlu diberi kepada pengendali kelahiran Korea Selatan itu untuk membuktikan kemampuannya.
"Pemerhati dan peminat bola sepak tidak seharusnya menilai kemampuan pengendali kelahiran Korea Selatan itu hanya berdasarkan beberapa aksi perlawanan sahaja.
"Masih terlalu awal untuk menilai, tak boleh membuat penilaian dalam dua ke tiga perlawanan sahaja. Dalam bola sepak ini, kita kena 'trust the process'.
"Saya masa awal ambil alih JDT dahulu tidak menang apa-apa pada tahun pertama, kalah memanjang, dapat seri pun syukur sangat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JDT di sini pada Khamis.
Kata Tunku Ismail, pemerhati dan peminat bola sepak juga tidak wajar menilai seseorang jurulatih itu dalam satu musim sahaja sebaliknya diberi peluang untuk dua musim dan selepas itu Pan-gon, akan tahu apa yang harus dilakukannnya.
Tunku Ismail berkata, pelantikan Pan-gon itu adalah satu langkah yang positif buat Harimau Malaya bagi mengharumkan nama negara.
Tunku Ismail turut meletakkan harapan yang tinggi dan menjangkakan Pan-gon mampu menjadi individu yang tepat melakukan perubahan kepada pasukan kebangsaan.
Putera sulung Sultan Johor itu turut memuji mereka yang betul-betul menjalankan tugas dengan membuat persiapan terperinci termasuk memantau setiap pemain dalam negara.
"Kali ini akan berbeza, apabila saya tengok struktur mereka yang ditunjukkan pada saya, amat positif kerana lebih kurang sama dengan struktur kita di sini.
"Sebelum ini tidak ada tetapi sekarang sudah betul-betul ada perancangan, mempunyai pasukan perubatan dan betul-betul menilai setiap pemain dalam negara, ini perkembangan yang baik.
"Dia (Pan-gon) ada menceritakan hasratnya dan saya turut menasihatkannya untuk berjaga-jaga kerana saya adalah tangan ghaib," ujarnya.
Harimau Malaya dijadual berlepas ke Singapura pada 22 Mac untuk menghadapi dua perlawanan Tier 1 menentang Filipina pada 23 Mac, diikuti Singapura (26 Mac) sebelum bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC pada 28 Mac.
Persahabatan tersebut sebagai persiapan untuk menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil pada Jun ini, di mana Malaysia diletak dalam Kumpulan E bersama-sama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.