'Bincang dahulu cadangan isu eksport ketum di kabinet'

Iklan
Razarudin

KUALA LUMPUR - Cadangan membenarkan daun ketum dari negara ini untuk dieksport secara sah ke Thailand seperti yang dicadangkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu dibawa ke kabinet terlebih dahulu untuk diputuskan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, buat masa ini, kesalahan memiliki ketum berada di bawah perundangan Akta Racun 1952.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekiranya cadangan berhubung ketum itu dibawa ke kabinet dan diluluskan, baharulah perkara tersebut akan dikeluarkan daripada akta terlibat.

"Bila perkara ini diluluskan, ketum ini akan dikeluarkan daripada akta tersebut kerana melibatkan perundangan dan perlu dibawa ke kabinet," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Kop Mantap Berhad bersama Rakan Strategik di Maktab PDRM, Kuala Lumpur pada Khamis.

Iklan

Sinar Harian pada Khamis melaporkan kerajaan Kedah mengarahkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) melakukan sesi libat urus bersama semua agensi berkaitan berhubung cadangan mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hasil dapatan itu akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan.

Iklan

Menurutnya, ia bukan sesuatu yang mustahil dilakukan sama ada melalui pindaan akta atau kebenaran khas menerusi akta sedia ada.

Arahan tersebut susulan cadangan dibuat Muhammad Sanusi pada hari sebelumnya supaya ketum dibenarkan untuk dieksport ke luar negara terutama Thailand bagi membolehkan negara memperoleh manfaat daripada langkah tersebut.

Muhammad Sanusi berkata, kebenaran itu juga secara tidak langsung dapat membanteras kegiatan penyeludupan yang berleluasa di sempadan Malaysia-Thailand.

Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand seperti mana cadangan tersebut.

Jelas Hamzah, perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, yang antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.