Tiada pembubaran DUN kerajaan negeri PH

Iklan

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan tiada sebarang cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditadbir gabungan itu sehingga tamat tempoh pada tahun hadapan.

Keputusan tersebut mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang masih terkesan ketika ini.

Iklan
Iklan

"Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini telah memutuskan bahawa kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang ditadbir Pakatan Harapan tidak akan menasihati agar Dewan Undangan Negeri masing-masing dibubarkan sehingga tamat tempoh pada tahun 2023.

"Keputusan ini dibuat mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang masih sangat terkesan akibat banjir besar, pandemik Covid-19, pendapatan yang berkurangan serta kos sara hidup yang meningkat mendadak," menurut Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Kenyataan berkenaan dikeluarkan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Gabungan parti pembangkang itu turut menegaskan fokus PH kini adalah untuk menggerakkan segala usaha ke arah menyelamatkan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi.

Iklan

Pada Selasa, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata, hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan.

Kemudian, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga senada untuk meneruskan pentadbiran sedia ada sehingga habis penggal sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 menjadi antara perkara yang dibahaskan pada Persidangan Agung UMNO yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sehingga Sabtu ini.

Perkara itu dibangkitkan susulan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, dan terdapatnya desakan kalangan pemimpin dan ahli parti itu supaya PRU15 diadakan segera.