KUALA LUMPUR - Kerajaan memandang serius terhadap projek sakit di seluruh negara dan kini sedang memantau perkara tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, setakat ini, sebanyak lapan projek telah berjaya dipulihkan hasil daripada intervensi Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU).
"Dalam melaksanakan pemantauan terhadap projek sakit, ICU telah melaksanakan intervensi di tapak projek sakit.
"Hasil lawatan intervensi tersebut di Sabah, didapati terdapat beberapa masalah utama berkaitan dengan pengalihan infrastruktur utiliti serta keupayaan agensi pelaksanaan dan perunding,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Projek sakit merujuk kepada apabila kemajuan kerja fizikal mengalami kelewatan melebihi dua bulan atau 20 peratus berbanding jadual yang ditetapkan dalam kontrak dan kontraktor adalah tidak berupaya untuk memperbaiki prestasinya.
Bagi menangani projek bermasalah, Mustapa berkata, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara yang dipengerusikan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Ketua Setiausaha Negara supaya tindakan segera dapat diambil.
"Semua usaha ini untuk memastikan semua projek sakit, termasuk di Sabah akan dapat disiapkan dengan segera untuk manfaat rakyat, di samping membendung pertambahan projek sakit selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan sedang merangka strategi dan inisiatif Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia yang akan menjadi pelengkap kepada program sedia ada untuk membasmi kemiskinan.
Beliau berkata, Program Pembasmian Miskin Tegar ini dicadang untuk dilaksanakan secara berfasa selama tiga tahun melibatkan sekurang-kurangnya 480 lokaliti di bandar dan luar bandar, termasuk perkampungan Orang Asli bermula tahun ini.
Katanya, sebanyak tiga fasa melibatkan 80 lokaliti bagi setiap fasa akan dilaksanakan secara rintis pada tahun ini.
"Fasa pertama akan dilancarkan pada April, diikuti fasa kedua pada September dan fasa ketiga pada Disember, tahun ini. EPU dan ICU akan mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen yang berkenaan sebelum pelaksanaan program ini,” katanya. - Bernama