Kecederaan Nur Izzuddin punca beregu negara tersingkir

Iklan
Nur Izzuddin (kiri) dan Sze Fei tersingkir seawal pusingan pertama Seluruh England kali ini.

BEREGU lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang menjuarai Terbuka Jerman Ahad lalu, terpaksa akur tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan badminton Seluruh England 2020 pada awal pagi Khamis.

Masalah kecederaan lutut yang dialami Nur Izzuddin dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyebabkan gandingan muda negara itu tewas 15-21, 21-19, 11-21 di tangan beregu China, He Ji Ting-Tan Qiang di Utilita Arena Birmingham.

Iklan
Iklan

Malah, kecederaan membelenggu Nur Izzuddin itu lebih teruk sejak aksi final Terbuka Jerman, namun dia dan Sze Fei berjaya muncul juara selepas mengatasi pasangan China, Liu Yuchen-Ou Xuanyi 23-21, 16-21, 21-14 di pentas final.

Pengarah Kejurulatihan (Beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, momentum Nur Izzuddin agak terganggu disebabkan masalah kecederaan yang menimpanya.

Iklan

"Nur Izzuddin masih belum boleh beraksi seperti biasa berikutan kecederaan yang dialaminya masih belum pulih sepenuhnya. Pada pusingan pertama semalam (Rabu), dia cuba bermain dengan pantas.

"Bagaimanapun, dia mengakui berasa tidak selesa pada bahagian betis sehingga dia mengalami hamstring ketika perlawanan memasuki set ketiga. Itu membuatkan fokusnya terganggu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Iklan

Mengulas prestasi beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Rexy menyifatkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berpeluang untuk mara lebih jauh pada kejohanan kali ini.

"Saya lihat mereka beraksi dengan penuh bersemangat pada pusingan pertama. Walaupun Wooi Yik baru pulih daripada jangkitan Covid-19, tetapi dia dilihat memiliki semangat luar untuk beraksi.

"Saya harap mereka dapat mengekalkan momentum itu setiap kali turun ke gelanggang.

"Bukan mereka saja tapi saya harap beregu kita yang lain mampu melangkah sejauh mungkin di Birmingham ini,” ujarnya.