PASIR SALAK - Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan terperangkap dalam kereta yang terjunam di tali air di Kilometer 32, Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap berhampiran Kampung Bukit Chawi, Kampung Gajah di sini pada Khamis ditemukan meninggal dunia.
Mangsa dikenali sebagai Muhamad Harith Sulayman Mohd Hanis, 5, ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba di bahagian tempat duduk belakang kereta jenis Honda City kira-kira jam 8.15 malam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, mangsa bersama adik perempuannya berusia empat tahun menaiki kenderaan yang dipandu ibunya berusia 30 tahun.
"Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, tiga beranak terbabit dalam perjalanan dari Malim Nawar menuju ke Ulu Dedap Sungai Jejawi untuk mengambil anak bongsunya di rumah pengasuh.
"Ketika melalui satu selekoh, kenderaan mangsa terlanggar lopak air akibat hujan lebat menyebabkan kenderaan itu terbabas melanggar besi kunci air sebelum terjunam di tali air," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Menurutnya, ibu bersama anak perempuannya berjaya keluar menerusi tingkap yang terbuka sebelum diselamatkan orang awam di lokasi kejadian.
"Pada masa sama, kenderaan mangsa mulai tenggelam menyebabkan mangsa tidak sempat diselamatkan sebelum tenggelam dihanyutkan arus.
"Kenderaan tersebut berjaya dijumpai dalam jarak 80 meter dari lokasi terakhir dilihat kira-kira jam 7.50 petang sebelum dapat mengeluarkan mangsa kira-kira 25 minit kemudian," katanya.
Barudin berkata, dua beranak terbabit tidak mengalami kecederaan manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk dibedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.