Modal RM700 mulakan perniagaan

Iklan
Nik Muhamad Afiq menunjukkan susu berperisa yang dijualnya dengan menggunakan sebuah motosikal di sekitar daerah ini.

BERMODALKAN wang simpanan berjumlah RM700, seorang bekas pekerja kilang nekad memberanikan diri menceburi perniagaan minuman susu berperisa bagi menjana pendapatan keluarga.

Nik Muhamad Afiq Mas Kuri, 33, berkata, perniagaan Queen Susu Original berperisa coklat, strawberi, epal dan keladi yang dihasilkan melalui resipi sendiri itu dimulakan pada tahun lalu.

Susu berperisa coklat, strawberi, epal dan keladi yang dihasilkan Nik Muhamad Afiq di Kota Bharu.

Iklan
Iklan

Katanya, ketika itu mengalami masalah kewangan kesan pandemik Covid-19 menyebabkannya berhenti kerja di sebuah kilang di Johor dan pulang ke kampung di sini.

"Mulanya saya menjual air minuman di dalam balang di tepi jalan namun kurang sambutan.

Iklan

"Waktu itu, hanya ada wang simpanan bekerja kilang sebelum ini RM700 dan saya gunakan sebagai modal untuk memproses sendiri susu berperisa coklat, strawberi, epal dan keladi di rumah,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Makanan ala barat yang turut dijual di gerai makan Nik Muhamad Afiq di Kota Bharu yang baru dua bulan beroperasi.

Menurutnya, mula mempromosikan susu di laman sosial Facebook dan kumpulan Whatapps yang kemudian mendapat sambutan menerusi tempahan pelanggan.

Iklan

"Saya menggunakan sebuah motosikal untuk menghantar susu yang ditempah oleh pelanggan di sekitar daerah ini dan Bachok.

"Ada dua jenis iaitu susu botol berjumlah 250 mililiter (ml) yang dijual dengan harga RM5 sebotol dan 500 ml pula RM8 sebotol,” katanya.

Perniagaan yang berkembang dengan menghasilkan susu ais kisar berperisa coklat, strawberi, epal dan keladi.

Ujarnya, adat berniaga bergelut dengan naik turun hasil yang diperolehi namun kegigihan menyiapkan tempahan susu dengan bantuan isteri, Nur Awanis Mohamad, 30, pada setiap malam itu membuahkan pulangan lumayan dengan purata jualan sekitar RM150 sehari.

"Perniagaan menjaja susu itu kini maju setapak lagi melalui pembukaan sebuah gerai makan di Batu 4, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai di sini yang disewa dengan kadar RM200 sebulan sejak dua lalu.

"Kami suami isteri masih gigih memproses sendiri susu berperisa pada waktu malam dan saya akan menjaja susu itu dengan menggunakan motosikal pada siang jari bermula jam 11 pagi sehingga 4 petang.

Nik Muhamad Afiq menjual susu berperisa kepada seorang pelanggan, Rosliza Mohamed di Kota Bharu.

"Sebelah petang bermula jam 3 petang hingga 10 malam pula, kami berniaga gerai yang hanya ada dua meja untuk pelanggan makan tetapi menu ditambah iaitu minuman susu ais kisar berharga RM3 dan RM6 segelas serta makanan ala barat bermula RM5 sehingga RM16,” katanya.

Ujarnya, Queen Susu Original kini mempunyai pelanggan tetap dan kian ramai yang menyukai rasa susu hasil resipi bapa tiga anak tersebut.

"Saya berhasrat untuk mengembangkan lagi akses susu ini kepada lebih ramai pelanggan di negeri ini malahan ke negeri-negeri lain yang berhampiran,” katanya.