Dua maut, tiga cedera kereta terbabas

Iklan
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim menjalankan operasi mengeluarkan mangsa kemalangan dari kenderaan. - Foto ihsan JBPM Perak

TANJUNG MALIM - Dua lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Slim Lama di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Faris Amran, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tercampak keluar dari kereta jenis Proton Wira.

Iklan
Iklan

Mangsa kedua, Syed Umair Syazrim Syed Hashim, 22, yang parah dalam kejadian itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Slim River.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim menerima maklumat kemalangan maut itu melibatkan sebuah kereta yang dinaiki lima lelaki.

Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki berusia 22 tahun hilang kawalan dan terbabas ketika menghala ke Behrang 2020.

"Kenderaan terbabit turut terlanggar tiang lampu yang berada di tengah jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan mengakibatkan seorang penumpang tercampak keluar dari kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan

"Seorang lagi penumpang disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Sulizmie Affendy berkata, tiga mangsa lain termasuk pemandu berusia 20 hingga 23 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan lanjut di hospital berkenaan.

"Siasatan mendapati jalan raya dalam keadaan basah selepas hujan selain kawasan kemalangan adalah gelap kerana tidak berlampu.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke hospital sama dan bedah siasat akan dilakukan setelah menerima keputusan ujian Covid- 19," katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda tidak lebih RM20,000.