Selangor catat lebih RM960 juta pelaburan di Expo 2020 Dubai

Iklan
Sebanyak 92 potensi kerjasama perniagaan berjaya diadakan melibatkan sektor pergudangan, perkhidmatan perundingan pengurusan, perkhidmatan perundingan kewangan, komunikasi serta multimedia dan keusahawanan di Expo 2020 Dubai.

SHAH ALAM - Sebanyak RM960.744 juta nilai pelaburan berpotensi berjaya dicapai pada Minggu Selangor di Expo 2020 Dubai yang berlangsung dari 6 Mac hingga 12 Mac lalu, kata Exco Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana negeri, Datuk Teng Chang Khim.

Beliau memaklumkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat bahawa jumlah itu melebihi sasaran mingguan yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan iaitu RM500 juta bagi setiap minggu yang dihoskan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang seminggu program tersebut dilaksanakan, sebanyak 158 padanan perniagaan telah berjaya diadakan antara ahli perniagaan dan pelabur antarabangsa dengan ahli delegasi dan mereka telah menyatakan hasrat untuk melebarkan pelaburan dan perniagaan di Selangor.

Chang Khim berkata, sebanyak 92 potensi kerjasama perniagaan berjaya diadakan melibatkan sektor pergudangan, perkhidmatan perundingan pengurusan, perkhidmatan perundingan kewangan, komunikasi serta multimedia dan keusahawanan.

Iklan

"Memorandum perjanjian antara Northport (Malaysia) Bhd dan Seahawk Lines Shipping LLC juga dimeterai yang bernilai RM45 juta,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Rozana Zainal Abidin (PH-Permatang) yang ingin mengetahui mengenai penyertaan kerajaan dan syarikat Selangor di World Expo Dubai dan pelaburan yang berjaya dibawa pulang.

Iklan

Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) diadakan bermula 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 bertempat di Dubai South Districts. -Bernama