ALOR SETAR - Pemuda Pas melahirkan kekecewaan berhubung ucapan Ketua Puteri UMNO yang disifatkan lupa diri sehingga sanggup mencaci rakan politik yang pernah memberi 'nyawa' kepada parti keramat itu.
Exco Pemuda Pas Malaysia merangkap Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, ucapan Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 baru-baru ini dikatakan agak keterlaluan dan bongkak.
Menurutnya, sebagai pimpinan yang pernah memeluk erat penyatuan ummah, sekurang-kurangnya Zahida mengingat kembali jasa Pas melalui ahli-ahlinya yang berkorban membantu Barisan Nasional (BN) menang dalam banyak siri Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum (PRU)14.
"Kini bila BN menang besar di dua negeri, perangai tunjuk besar dan berlagak kembali membarah yang dijelmakan oleh para pimpinan mereka, terkini ucapan Ketua Puteri mereka sangatlah mengecewakan.
"Kita Perikatan Nasional (PN) dan Pas bersaing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dengan BN atas gelanggang politik demokrasi tetapi tidaklah sampai menghina dan mencaci rakan yang pernah memberi ‘nyawa’," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut menyeru ahli UMNO supaya tidak meneladani para pimpinan mereka yang bongkak dan angkuh kerana sikap demikian dilarang dalam Islam sehingga tahap mencaci rakan.
"Dulu kita selalu nasihatkan UMNO jangan bersikap terlalu ‘abang long' dalam menguasai tiga parti iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika muafakat politik berjalan baik atas penyatuan ummah.
"Kini timbul pula ‘kak long’ dalam UMNO yang bongkak berucap dalam PAU yang menyebut sayonara Pas dan menggelar rakan kerjasama Pas sebagai katak dan jengking.
"Ingat! Langit tak selalu cerah, sampai masa nanti, bimbang bila nyawa-nyawa ikan, toleh ke kiri dan ke kanan hanya nampak penyesalan," jelasnya.
Sebelum ini, satu video berdurasi 13 saat dimuat naik di aplikasi TikTok menunjukkan Zahida dalam ucapannya menyebut 'Sayonara Pas, selamat tinggal Pas, Goodbye Pas, semoga bahagialah kamu dengan pasangan hidupmu di kalangan katak dan jengking' mendapatkan lebih 311,900 tontonan, 5080 tanda suka dan 2669 komen.