ADUN lompat parti perlu bayar mahal kepada UMNO

Iklan
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - UMNO proaktif mewujudkan perjanjian dengan semua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan tiada wakil rakyat melompat parti.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti perlu membayar dengan harga mahal kepada UMNO.

Iklan
Iklan

"Kita (UMNO) juga adakan perjanjian sama dengan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Jangan main-main. Ini bukan soal wang ringgit tetapi maruah apabila menjadi calon BN (Barisan Nasional). Tidak ada istilah melompat selepas menang.

"Hakikatnya rakyat memilih kita melalui calon parti, memilih jenama atau 'brand' Barisan Nasional, tidak kerana mana-mana individu yang bertanding. 'There is no one bigger than the party' (tidak ada yang lebih besar daripada parti),” katanya ketika berucap sempena majlis pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Jumaat.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, terdapat golongan yang tidak tahu berterima kasih apabila sudah mendapat jawatan dan kuasa hasil sokongan parti.

Tegas Ahmad Zahid, perbuatan tersebut adalah pengkhianatan kepada amanah rakyat dan ahli parti yang bertungkus-lumus bersengkang mata bekerja untuk memenangkan setiap ahli Parlimen.

Iklan

"Bukankah sokongan itu tidak bermoral? Jelas mereka hanya berminat untuk terus berpolitik tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.

"Selepas mendapat sokongan, mereka yang berkuasa secara sistematik tidak mahu berikan jawatan kepada para penjawat dalam parti, walaupun mereka lebih berhak dan lebih berketrampilan untuk mewakili parti dalam kerajaan.

"Hanya pemimpin yang lemah yang tidak mahu orang bijak pandai dan berketrampilan membantu memimpin dan membina negara. 'Weak leader chooses weak followers' (pemimpin lemah memilih pengikut lemah),” katanya.