KOTA BHARU - Politik negara dilihat tidak akan stabil selagi pemimpin parti yang sedia ada kini masih lagi sebagai aktor utama mengemudi negara.
Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang berkongsi perkara itu melalui Facebooknya pada Jumaat berkata, sudah tiba masanya pemimpin lama melepaskan teraju kepada kepimpinan baharu berdasarkan beberapa alasan yang relevan.
"Bukan mereka tidak hebat tetapi tuntutan sekarang tidak sesuai lagi dengan gaya kepimpinan mereka, khususnya untuk Tun Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyidin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin lain.
"Lepaslah teraju parti kepada pemimpin baharu. Jika mahu kekal dalam politik dan masih sayangkan parti masing-masing, jadilah pengerusi parti atau ketua umum sahaja. Biar urusan operasi harian parti diuruskan oleh orang baharu,” katanya.
Menurutnya, pengunduran mereka merupakan satu jasa kepada negara yang perlu ke depan dengan tenaga dan idea baharu.
Beliau berkata, politik Malaysia perlu disuburkan dan memerlukan kesegaran kerana selepas Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Rakyat menaruh harapan besar negara akan berubah dari politik kleptokrat ke politik demokrat. Namun, tidak tahu di mana salahnya, selepas PRU14, bukan politik demokrat yang kita dapat, tetapi politik yang terencat," katanya.
Beliau mendakwa, sejak 2018, negara mempunyai tiga Perdana Menteri tetapi ekonomi negara tidak terurus, rasuah berleluasa, kos barangan menaik, peluang pekerjaan terbatas, pengangguran rakyat meningkat.
Katanya, kesan lain pula ialah nilai ringgit merudum, bilangan menteri bertambah dan hutang negara membengkak.
"Sejak 2018, kita telah mempunyai empat Pilihan Raya Negeri Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor dan ia dilakukan dalam keadaan Covid-19 masih mengganas kerana kegilaan kuasa.
"Dalam kempen, kita melihat isu yang sama dimainkan perkauman, penyelewengan, dan janji kestabilan. Hidangannya menu lama.
"Dari segi pelaksanaan pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum meyakinkan untuk bertindak sebagai sebuah badan yang bebas dan adil. Prosedur operasi standard (SOP) pilihan rayanya masih banyak ruang yang perlu diperbaiki,” katanya.