SHAH ALAM - Pembubaran Parlimen tanpa persetujuan parti-parti lain dalam kerajaan hanya akan merisikokan kedudukan Perdana Menteri (PM) dan Barisan Nasional (BN).
Memetik laporan Astro Awani, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan agar UMNO tidak mengambil mudah perkara berkenaan, sebaliknya melakukan perbincangan lanjut dengan parti-parti dalam kerajaan.
Malah, katanya, kerajaan yang ada ketika ini merupakan kerajaan hasil gabungan pelbagai parti dan UMNO hanyalah parti minoriti.
"Sekarang ini bukan macam dahulu. Sekarang ini, UMNO adalah minoriti dalam kerajaan. Kita hanya satu kerajaan yang ada 41 kerusi daripada 116 kerusi.
"Katakanlah UMNO nak bubar (Parlimen) dan tiba-tiba parti-parti lain dalam kerajaan kata tidak mahu, jadi kalau PM kata bubar, parti tidak sokong, maka Perdana Menteri kena letak jawatan.
"Apabila dia letak jawatan, kerajaan yang ada berhak ambil Perdana Menteri baharu dan mungkin satu parti masuk mengisi kekosongan sebab kita hanya ada 42. Itu pun kalau keluar semua, kalau ada parti lain masuk dan lebih 42, maka kerajaan tak boleh bubar juga.
"Ini semua nak kena hitung," kata Annuar ketika diwawancara dalam program Agenda Awani pada Jumaat.
Dalam masa sama, Annuar menyarankan UMNO agar melakukan post-mortem terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam keadaan segera.
Ini kerana, jelas Ahli Parlimen Ketereh itu, UMNO mungkin menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka tanpa kekuatan parti seperti Pas.
"Namun keadaan itu mungkin berbeza di negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perak," tambah beliau.
Annuar berkata, tidak salah untuk berasa gembira dan kuat selepas menang di dua negeri itu, namun jangan melakukan sesuatu tindakan yang hanya memerangkap diri sendiri.
"Maka pada saya PRU15 memang perlu disegerakan, namun bukan cuba nak uar-uarkan, kecuali dengan niat uar-uar untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri," ujarnya lagi.