KUALA LUMPUR - Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PC Ketapang II Ltd telah memperoleh kontrak bagi blok Ketapang Utara yang terletak di pesisir pantai dan luar pesisir Jawa Timur ketika pusingan kedua Pusingan Bidaan Petroleum Indonesia 2021.
Keputusan itu diumumkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia pada Jumaat.
Iklan
Iklan
Petronas berkata, susulan daripada kejayaan bidaan tersebut kumpulan itu akan beroperasi dan memegang 100 peratus ekuiti di blok seluas 3,131.8 kilometer persegi dengan kedalaman sehingga 100 meter di bawah paras laut.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli berkata, Petronas dengan sokongan kerajaan Indonesia akan terus mengukuhkan aktiviti huluannya dengan memberi nilai lebih besar, ia menyumbang kepada pembangunan industri tenaga Indonesia.
"Sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian yang progresif, Petronas komited untuk menghasilkan bekalan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai kepada Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Petronas juga merupakan pengendali bagi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) untuk Ketapang dan PSC Madura II di luar pesisir Jawa Timur dan merupakan rakan usaha sama dalam enam PSC yang terletak di dalam dan luar pesisir Sumatera, Laut Natuna, Jawa Timur serta Indonesia Timur. - Bernama
Artikel Berkaitan