PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan aksi berdepan Aston Villa pada Sabtu sebagai perlawanan ‘terbesar’ buat skuad kendaliannya itu musim ini.
Menurut Arteta, sebarang keputusan bagi perlawanan berkenaan bakal menentukan hala tuju skuad The Gunners dalam baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
"Aksi berdepan Aston Villa saya sifatkan sebagai aksi terbesar buat kami musim ini. Ia (perlawanan) yang cukup penting buat Arsenal.
"Oleh itu, saya telah mengingatkan pemain untuk beraksi sebaik mungkin bagi melakar keputusan positif,” katanya.
Untuk rekod, Arsenal kini berada pada kedudukan keempat dengan 51 mata tetapi diekori rapat Manchester United yang kini berada pada kedudukan kelima setelah meraih 50 mata.
Arteta juga mahu pemain The Gunners melupakan kekalahan 0-2 kepada Liverpool baru-baru ini dan beraksi sebaik mungkin ketika berdepan Villa.
Katanya, kemenangan ke atas Villa begitu penting kerana akan membantu pasukan berkenaan mengukuhkan lagi kedudukan dalam carta EPL kali ini.
"Bagi memastikan kemenangan, kami mengadakan persiapan rapi menjelang perlawanan dengan Villa.
"Yang penting, kami mahu memenangi perlawanan ini dan mengukuhkan kedudukan dalam carta EPL.
"Apa pun, saya menjangkakan perlawanan ini akan menjadi satu ‘pertempuran’ bagi kedua-dua pasukan yang mahu mencatatkan kemenangan, apatah lagi kedua-duanya tewas pada aksi terakhir sebelum ini,” katanya.