IPOH - Sebarang cadangan untuk menukar Exco Kerajaan Negeri Perak perlu melalui pucuk pimpinan parti masing-masing.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, seperti mana yang dilakukan sebelum ini, sebarang cadangan untuk menggantikan Exco kerajaan negeri mewakili parti masing-masing perlu datang daripada pimpinan pusat sebelum keputusan dibuat.
Katanya, bagamanaipun setakat ini Kerajaan Perak belum bercadang untuk membuat rombakan Exco dalam masa terdekat.
"Jika ada sebarang perubahan yang ingin dibuat pihak parti saya kira mereka boleh mencadangkan melalui pucuk pimpinan. Waktu saya bertanding di bawah PH menggunakan logo PKR, saya mendapat watikah daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Untuk menimbangkan nama sebelum dibawa untuk diperkenankan oleh tuanku, ia perlu datang daripada pucuk pimpinan bukan pimpinan di peringkat negeri. Tapi kita akan dengar apa juga cadangan-cadangan oleh semua pihak," katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Town Hall Maqasid - Maqasid Syariah Based Governance Peringkat Negeri Perak, di sini.
Hadir sama pada program tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.
Sebelum ini, Naib Pengerusi PKR Perak, Mohd Anuar Zakaria mengakui parti itu bercadang untuk menukar Exco kerajaan negeri yang mewakili parti itu.
ARTIKEL BERKAITAN PKR Perak sedia tukar Exco
Ditanya mengenai prestasi Exco kerajaan negeri, Ahmad Faizal berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan gerak kerja yang dilakukan oleh semua exco kerajaan negeri itu.
Namun, menurut beliau, kemungkinan berlaku rombakan dari segi portfolio sebagai usaha memperkukuhkan pentadbiran negeri.
"Setakat ini semua dalam keadaan baik tak ada masalah kecuali ada Exco saya yang tak buat kerja dan cuba menjatuhkan kerajaan.
"Namun ada kemungkinan untuk merombak portfolio Exco sebagai penambaikan dan usaha memantapkan pentadbiran kerajaan negeri. Semua Exco termasuk saya tak sempurna tapi taklah sampai tahap perlu tukar mana-mana Exco," katanya.