MELAKA - Seorang ibu tunggal enam anak, terperdaya dengan 'jerat' seorang lelaki sehingga kerugian RM225,900 dalam sindiket Love Scam.
Mangsa berusia 40an dan bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah syarikat swasta di sini berkenalan dengan lelaki itu menerusi laman sosial Facebook pada Oktober tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, hubungan mangsa dan suspek semakin erat dan mereka sering berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, suspek juga sering menunjukkan kepada mangsa bahawa dia memiliki sejumlah wang yang banyak bagi tujuan memberi keyakinan dan mengaburi mata mangsa.
"Pada September lalu, suspek meminta mangsa memindahkan wang miliknya dari akaun berjumlah AS$42,000 ke sebuah akaun Bank of China.
"Suspek juga telah memberikan maklumat akaun dan kata laluan yang berdaftar atas namanya kepada mangsa bagi melakukan transaksi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Jelas beliau, suspek telah meminta bantuan mangsa sekali lagi untuk membuat transaksi wang dari akaun yang sama ke akaun Maybank milik ibu suspek berjumlah RM10,000 tetapi transaksi tidak berjaya.
Menurutnya, suspek kemudian meminta mangsa untuk mendahulukan wang bagi dipindahkan ke sebuah akaun yang didakwa milik ibu suspek.
Katanya, tanpa sebarang syak dan percaya dengan janji suspek yang mahu bertunang, mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak RM10,900 ke akaun yang diberikan suspek.
"Suspek sekali lagi meminta bantuan mangsa untuk memindahkan wang dari sebuah akaun berjumlah RM2.5 juta bagi tujuan pembelian rumah di Setia Alam, Selangor.
"Namun transaksi itu tidak berjaya kerana pemindahan wang dengan jumlah yang tinggi dan perlu dikenakan bayaran kepada International Monetary Fund (IMF).
"Suspek meminta mangsa untuk mendahulukan wang miliknya untuk dibayar kepada IMF dan mangsa telah membuat transaksi sebanyak lapan kali ke akaun yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM215,000," katanya.
Sundra berkata, mangsa menyedari bahawa dirinya ditipu setelah wang simpanan miliknya berjumlah RM225,900 telah dipindahkan ke akaun yang tidak dikenali.
"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.