PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkakan wujud pakatan antara parti-parti politik bagi menentang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau mengakui sudah ada pendapat disuarakan parti pembangkang untuk membentuk pakatan susulan perpecahan yang hanya akan memberi kelebihan buat BN.
"Jelas sekali berpecah menyebabkan kita kalah. Bukan kita kurang sokongan, sebenarnya parti yang menang (BN) hanya mendapat 35 peratus sahaja daripada undi dalam PRN Johor.
"Tetapi dengan 35 peratus ini, mereka menguasai dua pertiga iaitu mereka berhak untuk pinda perlembagaan.
"Jadi kita dapati ini adalah satu kerajaan minoriti tetapi oleh kerana perpecahan dalam kalangan parti lawan, mereka sudah jadi dua pertiga kerajaan majoriti yang berkuasa penuh," katanya ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, di sini pada Jumaat.
Ditanya adakah Pejuang akan mencari 'pasangan' menjelang PRU15, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ia antara cadangan yang dikemukakan ahli, namun keputusan itu perlu dikaji dengan lebih mendalam.
"Kita dulu tidak ada kerjasama dengan parti-parti lain kerana kesan buruk daripada kerjasama itu," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai desakan untuk PRU15 diadakan secepat mungkin, Dr Mahathir berkata, ia tidak seharusnya dilakukan dalam keadaan rakyat tidak bersedia.
"Cuma orang tertentu sahaja yang akan gembira dan mengambil bahagian dalam (PRU15), kita akan dapat keputusan yang tidak baik bagi negara.
"Sebab itu masa perlu diberi supaya negara, rakyat khususnya akan mempunyai masa untuk menimbang baik tentang apa yang perlu mereka lakukan," katanya.