KAJANG - [DIKEMAS KINI] Seorang ahli perniagaan dihukum penjara empat tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan termasuk memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) dua tahun lepas.
Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, K Kalaichelvan, 46,menukar pengakuan kepada bersalah terhadap empat pertuduhan ketika pengurusan kes pada Jumaat.
Mengikut pertuduhan, Kalaichelvan didakwa atas empat pertuduhan iaitu pertama, memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian anggota polis, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31.
Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan 2020).
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, denda RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, dia didakwa memandu tanpa lesen memandu, melanggar SJR dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen (2) APJ 1987, Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.
Kesemua kesalahan dilakukan di SJR berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) pada jam 2 pagi, 3 Mei 2020.
Bagi tiga kesalahan itu, dia dihukum penjara 13 bulan dan mahkamah memerintahkan ia berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut serta hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun.
Semasa prosiding, Pengarah Pendakwaan Selangor, Mohammad Al-Saifi Hashim mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
"Dalam kes ini, kita kehilangan seorang petugas barisan hadapan, yang mana ketika kejadian Allahyarham bekerja semasa pandemik Covid-19.
"Pendakwaan memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman dengan mengambil kira kepentingan awam serta keadilan untuk mangsa serta keluarga," katanya
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datin Freda Sabapathy merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman minimum.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang juga anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, bertugas di SJR berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lekas dilanggar sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki.Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pada 13 Mei 2020, Sinar Harian melaporkan, Kalaichelvan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga merempuh anggota polis di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Lekas, Kajang pada 3 Mei 2020.