Mohon kerajaan negeri iktiraf pelantikan Datuk Naning

Iklan
Kamaruddin (tengah) semasa sidang media mengenai permohonan agar kerajaan negeri mempertimbangkan dan mengiktiraf pelantikan Datuk Naning yang dilantik melalui Lembaga Adat Naning pada Jumaat. - Foto Bernama

ALOR GAJAH - Pewaris keturunan Naning di sini memohon kerajaan negeri mempertimbangkan dan mengiktiraf pelantikan Datuk Naning yang dilantik menerusi Lembaga Adat Perpatih Naning Melaka.

Pembesar Waris Ketiga, Datuk Kamaruddin Manap berkata, pihaknya telah berjumpa dengan ketua-ketua menteri sebelum ini namun permohonan tersebut dinafikan serta dinasihatkan agar menyelesaikannya sendiri mengenai hal adat tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita ada jumpa ketua-ketua menteri yang lepas dan usaha tersebut (menyelesaikan) telah kita berjaya lakukan.

"Jadi kita mohon kerajaan negeri mengiktiraf pelantikan beliau dan Lembaga Adat Perpatih Naning Melaka mengikut Fasal 34 Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Iklan

Katanya, anak-anak adat Perpatih Naning Melaka sangat komited untuk menyelesaikan isu berkaitan pewarisan Naning di Melaka dan antara usaha yang akan dijalankan ialah berbincang dengan pengerusi Lembaga Adat Perpatih Naning Melaka dan pembesar waris untuk mengatur pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Dalam perlembagaan, kerajaan negeri kena mengiktiraf Datuk Naning itu sendiri. Memang benar ada pihak lain yang mengaku sebagai Datuk Naning tetapi orang itu tidak mengikut adat istiadat Naning sebenar dan kerana itu kita mahu satu pengiktirafan sebenar diberikan," katanya.

Beliau menjelaskan, Lembaga Adat Perpatih Naning Melaka melantik Datuk Undang Naning, Datuk Mohd Nazrol Mahamad Supar sebagai Datuk Penghulu Naning mengikut Adat Perpatih.

Iklan

Katanya, adalah satu kerugian jika bangsa Naning yang terdapat di 25 mukim di negeri ini tidak diiktiraf kerajaan negeri.

"Jika tiada tindakan, identiti bangsa ini akan hilang begitu saja dan kita boleh lihat, orang muda tidak tahu sulur galur keturunan mereka ini," katanya. - Bernama