‘Beban kos persekolahan pula’

Iklan
Azeanti (kiri) membawa anak-anaknya membeli peralatan sekolah di sebuah pasar raya di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

SUNGAI PETANI - Kos sara hidup tinggi, peningkatan harga barang selain pendapatan terjejas akibat Covid-19, membuatkan rakyat terbeban dengan persiapan awal persekolahan sesi 2022/2023.

Rata-rata waris yang ditemui menjelaskan persiapan hanya dilakukan ala kadar dengan kebanyakan pakaian serta keperluan sekolah sedia ada yang masih elok, diguna pakai semula bagi mengurangkan beban.

Iklan
Iklan

Pekerja swasta, Zaharah Darus, 39, berkata, dia dan suami mengambil keputusan untuk membeli keperluan yang penting sahaja memandangkan baju sekolah anak yang masih elok, akan digunakan semula.

Menurutnya, persiapan tahun ini untuk dua anak berusia 6 dan 8 tahun disediakan mengikut kemampuan keluarga.

Iklan

"Kalau ikutkan ibu bapa kena sediakan sekurang-kurangnya RM30 untuk sepasang baju sekolah, belum termasuk tudung dan kasut, memang agak membebankan jika ada anak ramai,” jelasnya.

Pekerja swasta, Amirah Ammar, 35, berkata, pendaftaran empat anak ke taska dan tadika sementara seorang lagi ke sekolah agama, sudah pasti memerlukan perbelanjaan banyak.

Iklan

Menurutnya, menyedari setiap kali tiba sesi persekolahan baharu melibatkan kos yang tinggi, dia dan suami sudah membuat simpanan tabung setiap kali hujung tahun.

"Agak terbeban juga dengan keadaan semasa, mujur suami penjawat awam jadi pendapatan tetap ada, Alhamdulillah.

"Saya dengar ramai yang mengeluh agak terbeban. Mana nak siapkan baju sekolah dan yuran pendaftaran, pasti ia sukar.

"Bagaimanapun, ibu bapa tetap ada pilihan sekiranya tidak mampu ke sekolah swasta atau tadika berbayar, boleh memilih sekolah kerajaan, sama juga dengan pemilihan pusat asuhan kanak-kanak bagi ibu bapa bekerja, pilih ikut kemampuan, buat tinjauan awal dan bahagikan bajet,” jelasnya.

Di MELAKA, kebanyakan ibu bapa memilih untuk membuat persiapan persekolahan sekadar apa yang ada dan membeli keperluan penting sahaja susulan keadaan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Noradibah

Suri rumah, Noradibah Mohd Shah, 35, berkata, dalam keadaan sekarang perlu berjimat lagipun Ramadan akan menjelma tidak lama lagi jadi dia hanya membeli keperluan yang penting seperti kasut sekolah.

Menurutnya, pakaian sekolah anaknya masih muat dan akan menggunakan seragam sekolah sedia ada selain mencari kedai yang berpatutan bagi membeli dengan harga lebih murah.

"Lagipun suami saya kerja swasta dan gaji dapat hujung bulan, jadi untuk pastikan anak-anak bersemangat ke sekolah saya akan pastikan kelengkapan persekolahan lengkap.

"Macam kasut sebab tak muat jadi saya terpaksa beli yang baru, kalau kedai-kedai biasa harga lebih murah dan ada barang juga berkualiti seperti di pasar raya,” katanya.

Bagi pekerja kilang, Maryati Idzharuddin, 34, dia tidak kisah membeli keperluan sekolah anak di kedai biasa berbanding pasar raya yang mempunyai lebih banyak pilihan.

"Asalkan anak saya ada pakaian sekolah dan alat tulis pun kebanyakan saya beli di kedai RM2.20 kerana harga berpatutan dan lebih murah,” katanya.

Haslinda

Peniaga kedai makan, Haslinda Tahir, 45, pula mengakui harga pakaian sekolah agak mahal tahun ini berbanding tahun lepas dan dia sebolehnya ingin menggunakan pakaian sekolah sedia ada.

"Saya belum beli lagi baju sekolah anak, mungkin sehari dua ini kerana baju lama sudah tidak muat, namun sedikit lega kerana hanya anak bongsu yang bersekolah susulan kakaknya baru tamat tingkatan lima,” katanya.

Di KOTA BHARU, rata-rata ibu bapa memberitahu berlaku kenaikan harga barangan persekolahan di negeri Kelantan pada tahun ini.

Majidah

Majidah Ismail, 37, ketika ditemui Sinar Harian berkata, berlaku kenaikan harga melibatkan barangan sekolah berbanding tahun lalu, terutamanya melibatkan alat tulis.

"Harga memang berbeza daripada dahulu.

"Sebelum ini kita boleh beli alat tulis bawah RM20, namun kini sampai RM35, melibatkan kuantiti yang sama,” katanya.

Sementara itu, Zulhanifa Sidek, 40, berkata, walaupun berlaku kenaikan harga jualan barang persekolahan, namun dia ‘lupa’ seketika apabila melihat keterujaan anak-anak untuk ke sekolah.

"Sudah berapa lama mereka tidak pergi sekolah, tidak jumpa kawan-kawan.

"Bila dapat beg baharu, kotak pensel baharu, semuanya baharu, memang terujalah.

"Memang diakui berlaku kenaikan harga untuk alat tulis. Mungkin kerajaan boleh lakukan kajian kembali nanti kenapa berlaku perkara tersebut,” katanya.

Bagi Azeanti Awang, 42, dia sudah membeli peralatan sekolah tiga anaknya sejak minggu lalu memandangkan dia bertugas sebagai pasukan barisan hadapan di sebuah hospital di sini.

"Tidak semua kena beli baharu, ada yang perlu beli, ada yang boleh digunakan lagi,” katanya.

Cahaya Seri Iman Junaidi (kanan) dan sepupunya Wan Mohammad Azam Ashraf keluar bersama ibu saudara mereka untuk membeli alat tulis di sini.