Kerajaan perlu sedia bantuan persekolahan terutama kepada golongan B40

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Saravanan

SHAH ALAM - Kerajaan perlu campur tangan dengan menyediakan bantuan kewangan kepada ibu bapa terutama golongan B40 untuk membeli kelengkapan peralatan sekolah yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan- Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah berkata, selain bantuan kewangan, peralatan persekolahan juga harus dipertimbangkan untuk diberi bantuan oleh kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia memandangkan terdapat golongan kurang berkemampuan untuk membeli keseluruhan peralatan kerana terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak 2020 dan juga banjir.

"Jika ada peningkatan harga kelengkapan peralatan persekolahan, kerajaan harus campur tangan untuk bantu golongan yang memerlukan bantuan.

Iklan

"Selain itu, ibu bapa juga terpaksa berbelanja untuk membeli banyak buku latihan sekolah yang disyorkan oleh pihak sekolah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, peningkatan harga barang tersebut telah dijangka kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan akan berlaku peningkatan disebabkan isu global.

Iklan

"Contohnya isu kenaikan kos pengangkutan, perubahan mata wang, dan kos bahan api yang sangat tinggi,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga menggalakkan ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk tidak berbelanja secara berlebihan memandangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan penggunaan pakaian biasa.

"Ibu bapa yang tidak mampu boleh minta bantuan di sekolah. Pihak sekolah juga boleh suarakan pendapat kepada KPM berkaitan perkara ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berharap KPM memberi perhatian serius untuk menyelesaikan isu beg sekolah berat dengan polisi yang berkesan.

"Contohnya, KPM boleh menyediakan pembelajaran secara digital, mengurangkan subjek dan sebagainya bagi mengurangkan beban pelajar membawa banyak buku ke sekolah,” katanya.

Pada 6 Mac, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, KPM akan menyediakan kemudahan lokar di sekolah rendah secara berfasa sebagai penyelesaian jangka panjang berkaitan isu tersebut.

Menurut Mohd Radzi, penyediaan kemudahan itu membabitkan sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.