SEREMBAN - Sebuah premis komersial di daerah ini diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selepas disyaki membuat penyambungan air secara haram pada Khamis.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Norzita Ismail berkata, serbuan pada jam 11 pagi itu mendapati penghuni premis telah melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip Galvanize Iron (GI) dan paip mudah lentur bersaiz 22 milimiter tanpa melalui sebarang meter untuk kegunaan penghuni premis berkenaan.
"Pegawai penguat kuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di lokasi terbabit dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.
"Pihak SPAN telah menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang mensabitkan hukuman denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Ujarnya, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan melibatkan pengguna komersil dan domestik.
"Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan Sains dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW).
"Sains mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan kesedaran masyarakat bersama-sama membantu dalam usaha mengurangkan kes curi air di negeri ini," katanya.