PENGENDALI Leeds, Jesse Marsch percaya pasukannya yang kini berada hampir di zon penyingkiran mampu untuk kekal bersaing di Liga Perdana Inggeris pada musim depan.
Menurut Marsch, dengan kualiti pemain yang ada ketika ini, dia percaya ia bukanlah satu perkara mustahil untuk dilakukan dengan pasukan perlu fokus dan mengekalkan momentum yang dimiliki ketika ini dalam baki perlawanan yang akan dihadapi.
"Saya percaya dengan kualiti pemain yang ada dan mereka mampu mengubah nasib pasukan ketika ini.
"Biarpun saya baharu berada di sini, saya percaya kepada mereka. Kami masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan.
"Apa yang mereka perlu lakukan ketika ini adalah fokus, kekal tenang dan percaya dengan proses yang sedang dilakukan ketika ini,” ujarnya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Molineux, Leeds bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Wolves 3-2 yang beraksi dengan 10 pemain.
Jaringan minit akhir perlawanan oleh tonggak pertahanan Leeds, Luke Ayling berjaya membawa pasukan itu mengelak daripada zon penyingkiran Liga Perdana.
Skuad kendalian Jesse Marsch sebelum itu berdepan masalah apabila Jonny dan Francisco Trincao menjaringkan gol untuk meletakkan Wolves di hadapan pada separuh masa pertama.
Namun penyerang Wolves, Raul Jimenez dilayangkan kad merah kerana melanggar penjaga gol Leeds, Illan Meslier di awal babak kedua.
Leeds memanfaatkan peluang tersebut sebaiknya apabila Jack Harrison dan Rodrigo menjaringkan gol penyamaan sebelum Ayling menyempurnakan gol kemenangan pada waktu kecederaan.
Untuk rekod, Leeds kini hanya dibezakan tujuh mata daripada zon penyingkiran dengan Watford berada di tangga ketiga tercorot dengan kelebihan baki satu perlawanan.