KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan membenarkan bazar dan Madinah Ramadan kembali beroperasi sepanjang bulan puasa tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, walaupun negara memasuki fasal endemik pada 1 April ini, namun operasi bazar dan Madinah Ramadan itu perlu mengikut garisan panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Iklan
Iklan
"Kerajaan negeri telah mengarahkan seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuka bazar Ramadan di kawasan masing-masing," katanya semasa Program Gotong-Royong Pesisir Pantai 'Pakak Maghi Bersih Pata Kito' di Pantai Cahaya Bulan di sini pada Sabtu.
Program itu turut berlangsung serentak itu di Pantai Kundur (Kota Bharu); Pantai Irama dan Pantai Melawi (Bachok), Pantai Bisikan Bayu (Pasir Puteh) serta Pantai Geting (Tumpat).
Menurutnya, kapasiti para peniaga itu diserahkan kepada PBT masing-masing untuk menentukannya jumlah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, solat tarawih di Madinah Ramadan di dataran Stadium Sultan Muhammad IV juga akan kembali beroperasi seperti biasa.
Beliau berkata, persiapan Madinah Ramadan sedang giat dilakukan oleh kerajaan negeri ketika ini dan dilaksanakan mengikut SOP ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.