SHAH ALAM - Pemaju Hartanah, SkyWorld Development Group (SkyWorld) mengumumkan kondominium SkyMeridien Residences telah disiapkan sepenuhnya tepat pada masa meskipun berdepan penularan pandemik Covid-19 dan bersedia untuk diserahkan kepada pemilik.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, kediaman yang terletak di Sentul Timur, Kuala Lumpur itu kini sedia untuk diserahkan kepada pemilik.
Menurutnya, kondominium SkyMeridien Residences sesuai didiami penduduk bandar yang mengimpikan keseimbangan antara suasana kerja dan kehidupan seharian.
"Kami yakin pemilik kediaman SkyMeridien akan kagum dengan kemudahan, mutu kerja berkualiti dan pelaburan yang dibuat.
"Berpegang teguh dengan konsep ‘Make Living Better’, SkyMeridien merupakan bangunan hijau diperakui yang direka bentuk untuk menjimatkan tenaga dan sumber," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, projek ini juga dilengkapi dengan Sistem Pengumpulan Sisa Automatik (AWCS) bagi menggalakkan persekitaran yang lebih bersih.
"Dengan mengambil kira inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pengudaraan silang maksimum, keselesaan terma dan analisis cahaya siang telah diambil kira semasa mereka bentuk lobi, koridor biasa dan unit kediaman,” katanya.
Menurutnya, SkyMeridien turut sesuai dijadikan destinasi percutian keluarga dengan menawarkan 32 kemudahan berinspirasikan resort termasuk kolam renang, gimnasium, bilik permainan arked, ruang istirahat dan kerja, pelbagai kemudahan sukan seperti 'rock climbing' serta gelanggang bola keranjang.
"SkyMeridien juga terletak di lokasi strategik dengan kemudahan akses pengangkutan awam dan lebuh raya utama.
"Bakal penduduknya boleh menaiki kereta api transit aliran ringan (LRT) dengan mudah melalui laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 300 meter (m) di Stesen LRT Sentul Timur,” jelasnya.
Dalam masa sama, SkyWorld turut melancarkan Solution+, sebuah platform e-dagang yang diintegrasikan bersama aplikasi SkyWorld Connect berfungsi menghubungkan penduduk SkyWorld kepada peniaga perkakasan rumah yang menjadi rakan kongsi syarikat itu.
Chee Seng berkata, aplikasi tersebut memudahkan individu untuk mencari kenalan, cadangan dan perbandingan harga bagi reka bentuk dalaman, pengubahsuaian, perabot serta penyelesaian rumah yang lain.
"Penduduk kediaman SkyWorld akan mendapat manfaat daripada pakej istimewa yang disediakan oleh rakan kongsi SkyWorld, sekali gus memudahkan urusan membeli-belah dengan memendekkan masa penghantaran.
"Pada pelancaran awal tahun ini, SkyWorld telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada pembeli SkyMeridien dan SkyAwani 3, dengan jualan lebih RM2.8 juta diurus niaga dalam masa seminggu,” katanya yang menyasarkan pelancaran empat projek di lokasi strategik seperti Setapak, Cheras, Taman Melawati dan Setiawangsa.