HULU TERENGGANU – Dua beradik bersama abang ipar ditahan polis kerana menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘superman’ dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini pada Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Ismail Man berkata, tiga lelaki berusia 21, 24 dan 28 tahun dari Kelantan itu ditahan pada jam 9.55 pagi di Kawasan Rehat Dan Rawat Bukit Besi, Dungun.
"Sebelum itu pada jam 9.17 pagi, Skuad 42 JSPT Terengganu telah membuat pemantauan di LPT2 kawasan Telemong hala ke Ajil dan mengekori sekumpulan penunggang motosikal dari arah Kuala Terengganu ke Dungun.
"Pasukan itu kemudian mengesan tiga lelaki menunggang motosikal secara berbahaya dengan meniarap, menundukkan kepala selari dengan meter dan melunjurkan dua kaki ke belakang (aksi superman),” katanya di sini pada Sabtu.
Menurut Ismail, ketiga-tiga mereka ditahan ketika berhenti rehat di hentian Bukit Besi dan semakan mendapati salah sebuah motosikal digunakan merupakan kenderaan dilaporkan hilang di Besut pada 1 Ogos tahun lalu.
"Tiga lelaki itu bersama motosikal masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.
Selain itu katanya, lima motosikal turut ditahan di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan tiada mempunyai lesen memandu dan ubahsuai struktur kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.
"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
"Hasil siasatan mendapati, kumpulan melibatkan 16 orang yang menunggang motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai guna ini merupakan keluarga rapat yang dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Bukit Besi untuk berkelah,” katanya.