Penyatuan pemimpin utama jadikan UMNO lebih kuat

Iklan
Reezal Merican (dua dari kiri) beramah mesra dengan pengamal media sempena PAU 2021 di WTC Kuala Lumpur pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Penyatuan kepimpinan utama UMNO termasuk mereka yang menganggotai menteri kabinet dan Ahli Majlis Kerja Tertingginya (MKT) akan menjadikan parti itu lebih kuat.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sekiranya hubungan barisan kepimpinan parti berkenaan dapat diharmonikan, sudah pasti UMNO akan lebih menyerlah dalam keadaan parti pembangkang kini berada dalam keadaan berselerak.

Iklan
Iklan

Katanya, ketika ini pucuk pimpinan seperti MKT dan menteri mempunyai sudut pandang berbeza.

"Konsensus daripada pemimpin-pemimpin utama daripada Presiden, Timbalan termasuk Bossku (Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak), tentunya menjadikan UMNO berada pada aras yang lebih kuat dan kukuh.

Iklan

"Oleh itu, pelayaran untuk UMNO sampai ke garisan penamat (kembali mentadir negara) itu akan lebih terjamin," katanya kepada pemberita ketika melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan wakil Kelantan, Datuk Zawawi Othman agar pucuk pimpinan 'Top 5' UMNO dan Najib supaya bersatu memperkukuh parti agar tidak menjadi mangsa agenda perpecahan pihak tertentu.

Iklan

Mengulas lanjut, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menegaskan, dalam keadaan kedudukan pembangkang yang bercelaru sekarang, UMNO perlu ambil langkah bijak dengan menonjolkan kasih sayang.

"Semalam saya ada sebut kita nak hindarkan (apa sahaja jolokan kepada parti seperti kluster mahkamah dan kayangan). Kita mahu tunjukkan yang ada dalam UMNO ini kluster kasih dan sayang.

"Ia boleh jadi tekad utama untuk kita bawa kepada kemenangan lebih dominan demi untuk kestabilan negara dan kerajaan," ujarnya.

Katanya, apa yang lebih penting UMNO dapat menunjukkan bahawa parti itu mempunyai kedudukan yang kuat sekali gus memberi keyakinan tinggi kepada rakyat untuk menyokong parti tersebut.