KUALA LUMPUR - Akar umbi UMNO di Terengganu kini jelas mahukan Muafakat Nasional (MN) segera ditamatkan kerana Pas dilihat sudah tidak lagi ‘bernafsu’ untuk terus sama-sama memperkuatkan gagasan itu.
Perwakilan Terengganu, Bazlan Abd Rahman berkata, punca permasalahan itu berlaku gara-gara sikap curang Pas yang berjinak-jinak dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan terbentuknya Perikatan Nasional (PN).
Lebih mengecewakan lagi, Bazlan berkata, Pas juga tidak menginsafi bahawa punca masalah dalam MN adalah disebabkan sikap haloba mereka untuk mendapatkan keuntungan melalui PN.
"Ketika ini UMNO Terengganu masih menguasai satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tapi ia hanya dipandang sepi oleh kerajaan negeri pimpinan Pas dan sepanjang dua tahun melayari bahtera MN di Terengganu tiada cerminan sebenar terjemahan MN yang dapat ditunjukkan.
"Inilah sikap sebenar mereka tiada pun hasrat yang benar-benar menginsafi kesilapan yang lalu, malah dalam banyak hal kerajaan Pas Terengganu tidak langsung mengambil kira keberadaan wakil rakyat BN yang dipilih rakyat.
"Demikian sedikit sebanyak pengalaman kami bersama MN di peringkat Terengganu. Di peringkat akar umbi UMNO Terengganu jelas mereka mahukan MN ditamatkan.
"Pada mereka untuk apa menyimpan kudis yang akan menjadi barah jika sudah tahu penyakit itu mudarat. Kenapa masih berlengah untuk berubat (kerana) ubat mujarab ialah memutuskan hubungan politik dengan Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan usul Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.
Tambah Bazlan, secara asasnya dengan sikap yang ditunjukkan pemimpin Pas yang bersikap prejudis dengan UMNO juga seolah-olah menggambarkan bahawa mereka mahu supaya kerjasama MN itu ditamatkan.
"Hari ini semuanya hampir tinggal menjadi sejarah semata-mata. Ku sangka panas sampai petang tapi rupanya hujan di tengah hari.
"Umpama bunga tanggal kelopak, ibarat madu habis manisnya MN kini hanya tinggal sebagai sebutan. Kalau hilang tidak dicari kalau sakit tidak diubati, kalau habis pun tidak diganti,” katanya.