MSC kendalikan MSL 2022, tuan rumah Kejuaraan B-21 Dunia

Iklan
Khairudin

[DIKEMAS KINI] KONFEDERASI Sepak Takraw Malaysia (MSC) mendapat kepercayaan apabila dilantik penyelaras penganjuran sepak takraw dalam Liga Sukan Malaysia (MSL) 2022 bahkan mendapat hak tuan rumah Kejuaraan Bawah 21 (B-21) Tahun Dunia 2023.

MSL yang merupakan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijadualkan berlangsung dari Mac hingga Ogos ini bagi peringkat negeri-negeri manakala pusingan akhir kebangsaannya pada Oktober ini.

Iklan
Iklan

Hak tuan rumah Kejuaraan Sepak Takraw B-21 Tahun Dunia 2023 pula ditauliahkan kepada MSC ketika majlis penyampaian sijil ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) di Singapura oleh Presidennya, Datuk Abdul Halim Kader yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pada 5 Mac lalu.

"Sepak takraw merupakan satu daripada lima jenis sukan yang dipertandingkan dalam MSL 2022 di seluruh negara selain bola sepak, badminton, bola keranjang dan bola jaring. MSC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KBS atas peluang dan kepercayaan yang diberikan ini.

Iklan

"MSL bertujuan merealisasikan hasrat kerajaan dalam menggalakkan dan menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan selaras dengan Visi Sukan Negara 2030,” kata Timbalan Presiden MSC, Datuk Seri Khairudin Abd Samad.

Majlis pelancaran MSL 2022 katanya, telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam pada Jumaat.

Iklan

MSC tambah Khairudin, sudah pasti terasa seperti orang mengantuk disorongkan bantal dengan peluang dan kepercayaan oleh KBS dan ASTAF sekali gus berikrar untuk memanfaatkannya demi kemajuan dan kecemerlangan sukan sepak takraw.

"Bukan senang untuk sebuah badan induk kebangsaan yang semuda MSC diberikan peluang dan kepercayaan sebesar ini apatah lagi daripada KBS sekali gus dapat duduk sebaris sukan-sukan teras nasional seperti bola sepak dan badminton dalam MSL, begitu juga setinggi-tinggi terima kasih kami kepada ASTAF mengenai Kejuaraan B-21 Dunia itu.

"Kami percaya sepak takraw akan turut mendapat sambutan hangat daripada segi penyertaan pasukan dan sokongan para peminat mahupun hebahan meluas media seterusnya berjaya menepati matlamat utama penganjuran MSL 2022.

"MSL 2022 dan Kejuaraan B-21 Dunia 2023 telah membuka kesempatan terbaik untuk kami membuktikan komitmen dan wawasan MSC dalam membangunkan sepak takraw yang juga sukan ciptaan Malaysia ini, bukan sekadar retorik atau omongan kosong.

"Kedua-dua pertandingan berprestij kebangsaan dan antarabangsa ini akan menyaksikan pembabitan bersejarah MSC di arena sukan tanah air selepas pendaftarannya diluluskan Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 10 Februari lalu dan menjadi ahli kerabat rasmi ASTAF,” katanya.

MSC jelas beliau, akan mengendalikan MSL peringkat kebangsaan sahaja dan tanggungjawab melangsungkannya di setiap negeri, akan diserahkan kepada persatuan-persatuan sepak takraw negeri dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan masing-masing.

"Pusingan akhir kebangsaan akan menemukan juara-juara dari setiap negeri pada Oktober ini yang dijangka bersempena Hari Sukan Negara yang disambut secara tahunan setiap 9 Oktober.

"Pertandingan sepak takraw MSL 2022 ini terbuka kepada seluruh masyarakat kecuali pemain-pemain negeri dan negara dalam Liga Sepak Takraw (STL) dan Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari, Piala Raja Thailand, Sukan SEA dan Sukan Asia mulai 2018,” katanya.