KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Selangor bakal melancarkan Sekolah Digital Selangor (SDS) bagi mengatasi kekurangan bakat kemahiran dalam sektor ekonomi digital, terutamanya di negeri itu.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dengan penubuhan SDS, kursus-kursus berkaitan digitalisasi yang relevan dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan digital dapat ditawarkan dengan harga yang berpatutan serta mendapat pengesahan daripada institusi pengajian tinggi.
SDS yang akan dilaksanakan melalui Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dengan kerjasama The Hive SEA dan Universiti Selangor (Unisel) dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.
"Diharapkan melalui SDS, lebih banyak bakat dan pekerja mahir dalam bidang digital dapat dilahirkan untuk mengurangkan jurang pasaran pekerjaan dalam bidang ekonomi digital.
"Langkah itu juga selaras aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri pintar dan berdaya huni pada peringkat ASEAN menjelang 2025," katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022, di sini pada Sabtu.
Amirudin dalam ucapannya turut menegaskan bahawa digitalisasi adalah amat penting mengikut peredaran zaman terutamanya dalam dunia sekarang yang masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.
Katanya, sektor ekonomi digital negara memerlukan lebih kurang 1.5 juta bakal digital, namun buat masa sekarang, pasaran hanya mempunyai kira-kira 50 peratus bakat dan kemahiran dalam bidang berkenaan.
Berdasar data Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan untuk e-dagang dicatatkan pada RM1.09 trilion tahun lepas berbanding RM675.4 bilion pada 2019, iaitu meningkat 61.6 peratus, sekali gus menjelaskan kepentingan ekonomi digital dalam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK).
"Ekonomi digital atau pintar ialah ekonomi berasaskan pendigitalan aktiviti ekonomi untuk memacu pertumbuhan produktiviti dan mengoptimumkan struktur ekonomi.” katanya.
Sehubungan itu, katanya, program seperti Jelajah Usahawan Digital Selangor itu diharap dapat menarik lebih ramai penggiat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ataupun pelajar, graduan serta komuniti setempat didedahkan dengan kelebihan bidang e-dagang dan pendigitalan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata, program Jelajah Usahawan Digital Selangor yang bermula sejak 2020 bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada warga Selangor mengenai dunia digital.
Selain daripada program jelajah itu, Kerajaan Selangor melalui Sidec juga giat merealisasikan beberapa inisiatif lain seperti program Kelas e-Dagang, Kempen e-Bazar, Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor dan Program Pemecut Selangor. - Bernama